Carilah Yesus

0
85

Matius 2:1-2 (TB) Sesudah Yesus dilahirkan di Betlehem di tanah Yudea pada zaman raja Herodes, datanglah orang-orang majus dari Timur ke Yerusalem dan bertanya-tanya: “Di manakah Dia, raja orang Yahudi yang baru dilahirkan itu? Kami telah melihat bintang-Nya di Timur dan kami datang untuk menyembah Dia.”

Rupanya orang Majus yang datang mencari bayi Yesus yang baru dilahir itu adalah orang-orang terpelajar. Mereka telah belajar tentang peredaran bintang. Pada suatu masa terlihat oleh mereka sebuah bintang yang aneh bagi mereka. Dan mereka mengerti bahawa bintang itu menunjukkan bahawa ada seorang raja yang telah dilahirkan dibumi, dan bahawa raja yang baru dilahirkan itu adalah raja orang Yahudi. Itu sebabnya orang Majus itu bergagas datang ke Yerusalem ditanah Yudea untuk mencari Yesus yang baru dilahirkan itu untuk menyembah kepada-Nya.

Orang Majus hanya diberitahu oleh sebuah bintang sahaja sebagai petanda bahawa seorang raja telah dilahirkan dibumi, maka mereka mengambil keputusan untuk datang menyembah bayi Yesus. Kerinduan mereka untuk datang menyembah bayi Yesus sang Raja itu begitu kuat sekali sehingga mereka tidak peduli berapa jauh perjalanan yang harus diharungi. Mereka datang mencari dan terus mencari sehingga akhirnya mereka pun menemukan bayi Yesus di Betlehem lalu sujud menyembah kepada-Nya serta mempersembahkan kepadaNya Emas, Kemenyan, dan Mur.

Pada masa kini kelahiran Yesus Raja segala raja dibumi tidak lagi diberitahu melalui bintang seperti kepada orang Majus, melainkan Alkitab sendiri mengatakannya kepada kita, bahawa Tuhan Yesus yang adalah Raja segala raja telah pun dilahirkan dibumi ini untuk menjadi juruselamat kepada manusia berdosa. Agar barangsiapa percaya kepadaNya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal.

Itu sebabnya saat kita datang berkumpul ke gereja atau ke bangunan-bangunan rumah untuk merayakan kelahiran Yesus jangan sekadar memperingati-Nya sahaja, melainkan datanglah dengan hati yang rindu dan siap untuk menyembah Yesus.

Sebagaimana orang Majus dengan rindu mencari Yesus untuk menyembah kepadaNya, demikian juga dengan kita seharusnya rindu mencari Yesus untuk menyembah Dia, bahkan harus mempersembahkan persembahan berharga kepadaNya iaitu tubuh kita yang sudah disucikan oleh pertobatan dan darah Yesus. Itulah ibadah kita yang sejati dan berkenan kepada Tuhan pada perayaan ini – rujuk Roma 12:1-2.

Rayakan kelahiran Yesus bukan sekadar memperingatinya, sebaliknya datanglah mencari Yesus untuk memuji dan menyembah Dia dengan sungguh-sungguh dan dengan segenap hati.

Persembahkan tubuh kita, hati kita, fikiran kita, dan seluruh hidup kita kepada Tuhan Yesus menjadi persembahan yang jauh lebih berharga dari nilai Emas, Kemenyan dan Mur. Kerana dengan demikian ibadah kita pada perayaan natal tahun ini akan lebih bererti dan berkenan kepada Tuhan.

SHARE
Previous articleTerus maju

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here